translate

Wednesday, 17 April 2013



Fungsi peribahasa dalam masyarakat kita boleh lihat dalam beberapa aspek seperti :

1. Mewujudkan keseronokan dalam pergaulan
Kerseonokan dalam pergaulan menunjukkan individu yang terlibat dalam pergaulan tersebut merasa gembira dan selesa semasa bergaul. Kadang-kadang terdengar tawa dan wajah yang ceria sentiasa ditunjukkan. Keseronokan dalam komunikasi berlaku apabila kesefahaman wujud dan terselit unsur  humor  di  dalamnya.
Unsur  humor ini boleh ditunjukkan dengan adanya penggunaan perumpamaan yang sedikit jenaka tetapi tidak keterlaluan. Berikut beberapa contoh peribahasa atau perumpamaan yang boleh digunakan dalam pergaulan untuk tujuan menimbulkan keseronokan.
Dalam pergaulan, keseronokan boleh timbul apabila ada pujian yang ikhlas dan jujur di antara individu yang terlibat. Contohnya anda dan sahabat anda baharu sahaja pulang dari kelas mengaji. Secara jujurnya anda ingin memuji kelunakan suara sahabat anda yang begitu pandai mengaji. Maka, anda boleh mengatakan “Amin, suara kamu merdu bagai bulu perindu”. Perumpamaan ini bermaksud pujian yang berkias dengan bahasa yang lebih lembut dan menyeronokan.
Mungkin anda juga mahu bergurau dengan sahabat anda dalam majlis yang kamu hadiri. Selesai sahaja makan dan merasa kenyang anda meminta izin pulang dengan sedikit gurauan dalam komunikasi. Gurauan seperti ini mungkin anda boleh gunakan, “Kamal, saya mahu pulang, saya seperti pacat kenyang”. Gurauan ini bermaksud anda pulang tergesa-gesa selepas sahaja makan dengan kenyang. Mungkin anda ada hal penting yang ingin diselesaikan. Mendengar ungkapan ini rakan-rakan anda pasti gelak bukan bertujuan menyindir tetapi seronok kamu berbahasa dengan menggunakan kiasan.

2. Memberi nasihat
Perumpamaan juga boleh digunakan dalam memberikan nasihat. Penggunaan perumpamaan dalam memberi nasihat bertujuan untuk menyedarkan seseorang dengan membandingkan perbuatannya dengan sesuatu benda yang mujud. Keadaan ini sebenarnya lebih berkesan kerana orang yang menerima nasihat akan sedar tentang kelemahan atau perbuatan yang tidak baik dilakukan umpama benda yang digambarkan dalam peribahasa. Contohnya, mungkin anda mahu menasihatkan kawan anda supaya memberi didikan kepada anak bermula dari kecil lagi supaya sahsiahnya boleh dibentuk dengan lebih mudah. Anda akan berkata dengan perumpamaan “kalau menasihatkan kanak-kanak biarlah bermula dari mereka kecil, bak kata pepatah melentur buluh dari rebungnya”.
Setelah menilai nasihat anda, memang benar rebung mudah dilentur sebelum menjadi buluh yang dewasa. Begitu juga dengan kanak-kanak, mereka lebih mudah dibentuk sebelum menjadi dewasa. Setelah membandingkan benda konkrit dalam peribahasa tersebut iaitu ‘rebung’ dengan ‘kanak-kanak’ maka kawan anda akan lebih sedar supaya memberi nasihat yang terbaik kepada anak-anak sejak mereka kecil kerana mereka lebih mudah dinasihati pada waktu umur yang muda.

3. Menyindir dengan sopan
Perumpamaan juga boleh digunakan untuk menyindir dengan sopan. Menyindir dengan sopan bertujuan untuk menegur seseorang dengan bahasa yang bertapis supaya tidak keterlaluan tetapi memberikan mesej yang tajam. Menyindir dengan sopan menandakan seseorang itu bijak menggunakan bahasa supaya mesej yang disampaikan berkesan dan orang yang mendengarnya dapat memperbetulkan kesilapannya.
Perumpamaan yang sederhana dan bersifat praktikal boleh digunakan supaya maksudnya betul-betul sampaikan kepada penerima. Contoh perumpamaan yang digunakan untuk menyindir seseorang adalah seperti situasi yang berikut.“Akmal kamu tidak akan dapat kahwin sekiranya terus duduk diam seperti Mat Jenin, pergilah bekerja”. Sindiran seperti ini boleh menyedarkan seseorang supaya bertindak untuk mendapatkan keinginannya.

4. Menyatakan pendirian yang tegas
Perumpamaan juga boleh digunakan untuk menyatakan pendirian yang tegas dengan menggunakan pemilihan kata dan kiasan yang memberi kesan yang sangat mendalam. Kadang-kala kita mahu menyatakan pendirian dengan menggunakan kata putus yang biasa diungkapkan, namun kata putus ini lebih jelas dan tegas sekiranya disertakan dengan perumpamaan. Contohnya, perumpamaan “seperti berkerat rotan berpatah arang” yang bermaksud memutuskan tali persahabatan atau persaudaraan dengan niat tidak mahu menyambungkannya semula.
Perumpamaan yang dibayangkan dengan kiasan berkarat rotan dan berpatah arang cukup jelas bahawa pendirian yang dibuat itu adalah sungguh-sungguh dan tegas.

Secara keseluruhannya, peranan perumpamaan sangat jelas dalam mendidik masyarakat. Perumpamaan yang tergolong dalam peribahasa perlu dipraktikkan supaya tidak hilang ditelan zaman kerana perumpamaan merupakan khazanah bahasa yang tidak ternilai harganya. Generasi baharu perlu sedar bahawa perumpamaan bukanlah kata-kata yang biasa tetapi merupakan ketertinggian permikiran.
Za’ba pernah menyatakan bahawa peribahasa merupakan lidah pendeta. Pernyataan ini jelas menggambarkan nilai dan ilmu yang terkandung dalam perumpamaan itu.Dengan hal yang demikian, perumpamaan ini juga perlu diajar di sekolah dengan sungguh-sungguh kerana perumpamaan yang termasuk dalam peribahasa merupakan salah satu karya sastera yang perlu dihayati seperti mana yang dikehendaki dalam sukatan pelajaran bahasa Melayu.

1 comment: